Saturday, December 26, 2009

Coliseum : Semarakkan semangat 1Malaysia

Coliseum di awal pembinaan pada tahun 1920 menjadi tumpuan masyarakat berbilang kaum menonton wayang.

USIA PANGGUNG Coliseum yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dan berhampiran dengan kawasan Lanai Seni hampir menjangkau satu abad lamanya, namun masih utuh.

Coliseum yang merupakan terjemahan kepada seni bina Rom, Itali itu adalah saksi utama kepada kegemilangan era filem layar Melayu terutama produk yang datang dari Studio Jalan Ampas, Singapura pada era 1960-an.

Meskipun muncul beberapa panggung lain seperti panggung Federal, Capitol di Jalan Chow Kit, Rex di Jalan Sultan dan State di Petaling yang dianggap sebagai pesaing, Coliseum terus gah dan tetap menjadi pilihan orang ramai untuk menonton wayang gambar.

Ketika itu, semangat 1 Malaysia sudah terpancar tatkala masyarakat tidak kira Melayu, India dan Cina pasti berasak-asak memenuhi Coliseum bagi mendapatkan tiket dengan harga yang berpatutan.

Malah, ia menjadi pilihan beberapa pemimpin seperti mantan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu yang pernah ‘mencuri’ peluang menonton wayang di sini.

Kepada para pelancong asing yang melalui Jalan Tunku Abdul Rahman, pasti akan terpesona dengan keunikan panggung klasik ini yang masih lagi terpelihara meskipun ia di kelilingi banyak bangunan yang jauh lebih ‘muda’ dan pusat beli belah yang sinonim dengan kesibukan.

Pasti minda secara pantas akan mengimbau kemegahan Coliseum di Itali namun secara realitinya ia terdapat di sebuah negara Asia iaitu di Kuala Lumpur, Malaysia.

Mengimbas secara ringkas sejarah Coliseum yang siap dibina pada tahun 1920, ia dimiliki oleh seorang peguam Dr. Chua Seong Sie yang mewarisi peninggalan daripada ibu bapanya, Dr. Chua Boon Teck dan Madam Khor Joo Saik sejak tahun 1947.

Panggung wayang yang mempunyai kepadatan seramai 440 penonton pada satu-satu tayangan di dua aras memperlihatkan keagungan silam pada senibinanya cukup terserlah sekali gus menolak transformasi pembaikan yang terarah kepada formula kemodenan. Dalam erti kata lain, struktur bangunan lama ini masih mengekalkan ciri kolonialnya.

Bilik projektornya juga masih menyimpan projektor yang berusia lebih kurang 15 tahun, spoon yang berusia berpulu-puluh tahun lamanya dan pemutar filem yang sedia ada sejak bangunan ini dibina.

Coliseum juga didirikan bersama-sama kafe dan hotelnya dan usaha pemuliharaan sama ada dari segi struktur atau kebersihan sentiasa dilaksanakan.

Meskipun ia sebuah panggung lama, alatan seperti sistem bunyi terbaru dengan tujuh amplifier dan sistem platter yang dapat memudahkan urusan menggulung filem tersedia seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin berkembang.



Coliseum hari ini yang masih tersergam gah walaupun berusia hampir satu abad.

Zaman yang silih berganti, menyaksikan daripada tayangan filem Melayu kini Coliseum lebih cenderung menayangkan filem-filem Tamil dari India.

Apabila filem lakonan pelakon legenda seperti Rajnikanth dan Kamal Hassan mengisi jadual tayangan di Coliseum, masyarakat India mahupun peminat daripada pelbagai keturunan ada yang sanggup bermalam dan berdiri berjam-jam lamanya di sana semata-mata untuk mendapatkan tiket.

Kehebatan kepada kemeriahan di Coliseum, penulis berani jamin bahawa suasananya sangat berbeza berbanding berkunjung ke pawagam-pawagam baru di negara ini.

Penulis berkata demikian ekoran penulis bersama rakan baik berbangsa India, Gandhi dan Ng Yin Yin yang berbangsa Cina pernah menjejakkan kaki ke sana menonton filem seram, Chandramukhi lakonan hero pujaan - siapa lagi kalau bukan Rajnikanth. Penonton akan bersorak apabila hero muncul dan ia berterusan sehingga tayangan selama tiga jam itu tamat.

Yang terkini, filem aksi, Vettaikaran yang diterajui oleh Vijay dan Anushka yang sedang hangat ditayangkan masih tidak hilang dengan suasana seperti itu.

Sebenarnya, gamatnya sebuah panggung klasik bernama Coliseum telah memberi mesej jelas kepada pelancong asing bahawa Coliseum yang genap usianya 90 tahun pada tahun ini, masih hidup.


KONSEP 1 MALAYSIA. Panggung Coliseum pasti akan sesak dengan pengunjung yang datang pelbagai kaum apabila filem-filem baru mula ditayangkan.

Bagaimanapun, setelah kerajaan mengakui telah banyak kehilangan banyak kawasan dan bangunan lama kepada pihak korporat seperti Central Market, Segitiga Emas Sentul dan Hotel Majestic, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang kini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada Ogos 2006 mengumumkan bahawa Coliseum akan dijadikan Pusat Warisan Negara yang bakal mempamerkan seni, budaya dan warisan rakyat Malaysia.

Sejurus selepas itu, filem Seniman Bujang Lapok telah diberi penghargaan menjadi pembuka tirai bagi tayangan filem Melayu di panggung yang sudah mampu memuatkan kapasiti seramai 848 orang berbanding 440 orang beberapa tahun lalu.

Sebanyak 15 buah filem Melayu klasik terpilih arahan dan lakonan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee yang diminati sepanjang zaman oleh pelbagai bangsa ditayangkan secara percuma pada setiap Sabtu terakhir setiap bulan pada tahun tersebut.
Kemudian, tayangan filem Keluarga 99 lakonan Saleh Yaacob dan Fauziah Ahmad Daud menyusul selepas itu.


Rais Yatim bersama Seniman Aziz Sattar memegang papan klip filem bagi melancarkan program merakyatkan filem melayu klasik di Coliseum pada dua tahun lalu.

Sesungguhnya, walaupun Coliseum sudah beralih tangan, panggung itu masih mengekalkan fungsi sedia adanya dan berterusan menjadi sebuah pawagam yang akan menayangkan filem-filem tempatan serta sebuah pusat kegiatan perfileman.

Bangunan itu juga bertambah mengagumkan apabila akan dijadikan sebuah dewan serba guna yang akan turut menjadi pentas pelbagai kegiatan kesenian.

Ada juga cadangan daripada beberapa pihak supaya Coliseum dijadikan sebuah panggung bertaraf nasional yang berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan kepada filem tempatan.

Maka, karya-karya lama yang dihasilkan oleh legenda negara seperti Jamil Sulong dan Omar Rojik boleh dipertontonkan kepada generasi muda dan serentak dengan itu, Coliseum juga boleh mengambil ruang mempertontonkan filem antarabangsa seperti dari Hollywood, misalnya.

Penulis juga pernah mengilhamkan bahawa apabila sudah tiba masanya, Coliseum akan menjadi sebuah lokasi yang mana segala aktiviti pencinta seni seperti majlis anugerah, majlis pelancaran filem, majlis diskusi atau majlis kebudayaan berpusat di sini.

Dengan kerancakan di Coliseum itu, pastinya akan mempengaruhi pelancong tempatan atau luar negara terhenti seketika untuk ‘menjengah’ bangunan ini dan kemudian mengkhabarkan kepada sanak saudara tentang nilai estetika yang masih terpahat di samping kekreatifan yang ditonjolkan oleh kerajaannya yang memanfaatkan sepenuhnya warisan negaranya.

Pastinya, selepas ini kalau orang luar melontarkan persoalan di manakah lokasi sesuai untuk menonton filem dan menyelami budaya Malaysia, kita dengan bangganya mengarahkan mereka ke Coliseum.

Apa-apa sekalipun, Coliseum yang terletak di tengah-tengah kepesatan kota metropolitan di Kuala Lumpur masih menjadi tonggak kepada warisan tinggalan sejarah sememangnya perlu untuk diperkasakan.

Pemeliharaan dan pemuliharaan kepada panggung klasik ini merupakan pendekatan yang efisien dalam mempromosikan Malaysia sebagai pusat pelancongan kepada pelancong luar khususnya generasi baru.

Gabungan Coliseum dan beberapa warisan kebangsaan seperti Bangunan Sultan Suleiman , Jalan Stesen di Klang, Stadium Merdeka serta Stadium Negara, sesungguhnya mampu mencapai objektif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab seni warisan dan budaya antarabangsa.

Kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi seperti New York, Washington mahupun Canberra yang hanya memainkan fungsi sebagai ibu kota pentadbiran atau pun sebagai pusat komersial atau perdagangan semata-mata.

Diharapkan, Coliseum yang masih teguh dengan nilai seni dan warisan yang tinggi terus hidup, tidak ditelan dek pembangunan dan menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia.


TUMPUAN PELANCONG. Masih kental mempertahankan dan memulihara seni binanya sekaligus menjadi tarikan ramai.

INFO

Lokasi
Jalan Tuanku Abdul Rahman – berhampiran dengan Lanai Seni dan berhadapan dengan Kamdar.

Tarikh Siap Di Bina
1920

Cara Ke Sana
Boleh menggunakan LRT dengan berhenti di Hentian Bandaraya

No comments:

Post a Comment