Friday, January 1, 2010

Kampung Baru : Dari Setinggan ke Puncak Gemilang

Transformasi 1899 – 2010 yang menakjubkan dan bakal memukau dunia



Kedudukan Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah ibu kota dan hampir dengan KLCC.

PERNAH satu ketika dalam, ketika rancak berbalas mesej dalam laman sembang, Yahoo Messenger dengan seorang rakan maya yang berasal dari Arab Saudi pada awal tahun 2009, tiba-tiba secara spontan beliau menyuarakan hasrat untuk berkunjung ke Malaysia pada satu hari nanti. Dalam mesej itu juga, beliau yang mesra disapa dengan nama Karin berkeinginan untuk ke sebuah kampung penempatan orang Melayu di tengah-tengah ibu kota, mana lagi kalau tidak di Kampung Baru.

Penulis sedikit hairan bagaimana Karin mengetahui tentang Kampung Baru sedangkan beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke sini apatah lagi informasi di laman sesawang begitu terhad. Apabila ditanya berulang kali, barulah Karin berkata : ``Sanak-saudara saya kerap ke kampung itu selain di Bukit Bintang dan mereka beritahu saya, kalau mahu merasai makanan warisan orang Malaysia, di sanalah tempatnya.’’

Kebetulan, beberapa minggu selepas itu, penulis ditugaskan untuk membuat liputan di kampung tradisional itu tetapi perasaan hampa menyelubungi diri tatkala meninjau sisi kampung itu masih tidak lekang dengan hingar-bingar bunyi kenderaan yang bertali arus dan masih ditakuk lama seperti mula-mula penulis berkunjung sewaktu berusia 19 tahun. Namun, kelibat ‘Mat Salleh’ dan ‘Pak Arab’ ke sana ke mari tetap ramai.

Dengan terjemahan kata yang lebih mudah, tahap kebersihan masih di tahap C, kedudukan parkir yang tunggang-langgang dan tidak keterlaluan untuk diungkapkan, ia bagai ‘antara dua darjat’ memandangkan lokasi kampung sangat berdekatan dengan bangunan-bangunan yang gah di Kuala Lumpur seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Kembar Petronas (KLCC).

Terdetik di hati penulis ketika itu lalu berkata : ``Alangkah menariknya jika kerajaan membangunkan kawasan di kampung ini dengan suasana perkampungan moden disulami dengan pengekalan nilai warisan di kampung ini – ia akan lebih merangsang pelancong luar berkunjung ke sini.’’

Sekembali bertugas, penulis menyorot kembali salasilah Kampung Baru yang sinonim dengan menu Nasi Lemak Antarabangsa dan tomyam yang sangat digemari oleh individu pelbagai kaum di Malaysia termasuk orang luar meskipun rata-ratanya, lokasi kedai-kedai tersebut betul-betul di bahu jalan saja.

Terletak di bahagian utara pusat bandar raya yang disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan serta Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat, Kampung Baru mempunyai keluasan kira-kira 90.35 hektar dan mempunyai tujuh kampung keseluruhannya. Kampung-kampung tersebut ialah Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Periuk, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B.

Wujud juga beberapa kampung kecil iaitu Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru. Bagaimanapun, Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru telah dikategorikan sebagai ‘kampung setinggan di tengah bandar’.

Berdasarkan rekod, Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian serta dihuni oleh penduduk Melayu dan sering dikunjungi sejak dulu oleh pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi persinggahan pelancong dari dalam dan luar Negara. Tarikan utama mereka ke sana ekoran kampung itu merupakan satu-satunya tinggalan sejarah orang Melayu di sebuah ibu kota yang sudah dilimpahi dengan kemodenan selain acara tradisinya seperti pembahagian bubur lambuk dan kaya dengan pelbagai jenis masakan dengan harga yang berpatutan.


PADAT. Suasana Kampung Baru pada era 1980-an.

Selepas beberapa tahun lamanya, prasarana pengangkutan LRT juga telah mendorong lebih ramai lagi ‘menjengah’ Kampung Baru, kampung orang Melayu itu.


Prasarana keretapi elektrik merangsang lebih ramai orang berkunjung ke Kampung Baru.

Sama ada percaya atau tidak, pelakon dan pengacara, Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari juga antara selebriti ternama yang berasal dari Kampung Baru yang permai ini termasuk bapa saudara DJ Era FM, Aznil Nawawi, penyanyi Sepanyol, Zainal Cugat, 74, yang telah pun meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Mana mungkin sebuah kampung yang mempunyai banyak keistimewaan dipinggirkan oleh kerajaan tanpa berbuat apa-apa, bisik hati penulis. Helaian demi helaian rujukan diselak, rupa-rupanya, usaha untuk membangunkan kampung berkenaan melalui satu ceritera yang panjang. Segalanya bermula pada tahun 1975 apabila cubaan menyatukan lot kecil dipandang dingin oleh masyarakat kampung.

Enggan mengalah, usaha itu disusuli dengan mengajukan pelan konsep pembangunan yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ia lebih kepada mengelakkan pemilik individu membangunkan tanah mereka secara persendirian. Namun, formula itu masih tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, pada tahun 1991, kerancakan untuk membangunkan kampung warisan itu hebat diperkatakan setelah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed; mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Suleiman Mohamed; Ketua Setiausaha Negara dan Datuk Bandar Kuala Lumpur datang melawat.

Usaha itu masih tetap gagal hinggalah muncul Pelan Tempatan Kampung Baru yang diarah dikeluarkan DBKL pada 1992 tetapi tidak diketahui apakah yang terkandung dalam pelan itu. Kesamaran itu terungkai apabila DBKL mengetengahkan Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya yang melibatkan Kampung Baru di dalam Jilid 4 yang telah pun dibentangkan.


ACARA TRADISI. Pembahagian bubur lambuk sememangnya merupakan tradisi Kampung Baru yang masih ‘dijiwai’ hingga kini. Akhbar Kosmo! juga antara penganjur yang tidak pernah ketinggalan meneruskan amalan itu di kampung Melayu ini.

Rentetan sejarah sebuah kampung yang penuh nostalgia itu, tersimpan rapi dalam lubuk hati dan penulis tertanya-tanya adakah nama sebuah pembangunan akan terus ditepis dan kerajaan adakah kerajaan sudah berpatah arang untuk memajukan Kampung Baru?

Dengusan hati penulis itu tidak lama ekoran satu sumber memberitahu, Kampung Baru yang terletak di kawasan hartanah paling berharga di Kuala Lumpur bakal menikmati satu transformasi dan transisi yang menakjubkan. Projek pembangunan dikhabarkan sarat dengan pembinaan yang kemas serta dilengkapi dengan landskap menarik yang akan menjadi mercu tanda Kampung Baru. Adakah itu hanya suara-suara yang menyejukkan hati saja atau ramalan itu tidak benar belaka?

Ternyata, desas-desus itu bukan sekadar kata-kata kosong apabila tanggal 30 Mac tahun lalu, mantan Perdana Menteri Negara, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa kampung warisan Melayu itu akan menjadi segi tiga emas baru dengan pusat ekonomi bernilai tinggi dengan terbinanya, Puncak Baru.

Melihat lakaran grafiknya, sangat mempesonakan apabila menara yang bakal menjadi kebanggaan penduduk Kampung Baru terutamanya terletak di tengah-tengah antara Menara KL dan KLCC. Hebat!


MEMUKAU. Lakaran grafik artis yang menunjukkan Puncak Baru apabila siap dalam beberapa tahun lagi.

HARI BERSEJARAH. Abdullah merasmikan monumen Puncak Baru pada 30 Mac tahun lalu sambil disaksikan oleh oranf-orang penting dalam kerajaan.

Puncak baru sebenarnya merupakan satu projek yang berskala besar yang bakal menyaksikan sebuah menara kondominium setinggi 60 tingkat yang menempatkan 392 unit kediaman, 40 tingkat unit pejabat serta tiga tingkat ruang membeli belah dibangunkan dengan kos mencecah RM500 juta.

Abdullah dipetik sebagai berkata, pembangunan kampung itu bukan sekadar ditumpukan kepada kediaman semata-mata tetapi juga daripada sudut ekonomi bernilai tinggi yang dapat memberi manfaat kepada penduduknya. Projek pembangunan Puncak Baru akan dibina di tanah seluas 1.5 hektar milik DBKL dan disasarkan akan siap dalam masa empat hingga lima tahun lagi.

Jelas, usul yang dikemukakan oleh kerajaan tidak mendapat tentangan hebat daripada masyarakat setempat dan ini bermakna mereka sememangnya tidak pernah menolak pembangunan yang hendak dilakukan oleh kerajaan di kawasan tersebut.


‘INI TRANSISI BARU KAMPUNG KITA’. Mungkin ini yang dibisikkan oleh penduduk Kampung Baru kita melihat transformasi kampung mereka yang dipamerkan.

Tambahan, satu jaminan yang melegakan hati penduduk sekitar apabila Abdullah mengatakan bahawa pembangunan itu akan memastikan warisan turun temurun seperti keagungan reka bentuk rumah akan kekal terpelihara.

Semestinya, penganjuran pelbagai acara seperti kebudayaan dan amalan-amalan tradisi iaitu pembahagian bubur lambuk bakal menyaksikan kesinambungan tradisinya. Pasti Kampung Baru akan lebih meriah dengan deretan ‘syurga makanan’ yang lebih berstruktur, parkir yang bakal memudahkan si pembawa kenderaan serta menjadi pusat tumpuan pedagang antarabangsa yang bakal menjalankan urusan perniagaan di situ.

Sesungguhnya, dengan perancangan unggul ini, ia akan memartabatkan Kampung Baru sebagai mercu tanda Kuala Lumpur dan berupaya menjadi hab pelancongan masyarakat antarabangsa.
Monumen yang bakal siap itu nanti juga bakal menjadi penanda aras kepada pembangunan daripada sebuah kampung setinggan ke puncak yang paling gemilang lantas dikagumi rakyat Malaysia malah rakyat antarabangsa.

Bagaimana dengan kenalan penulis di Arab Saudi, Karin yang bakal melawat Malaysia terutama di Kampung Baru?. Oh, penulis dengan perasaan tanpa segan silu akan membawanya berjalan-jalan ke kampung warisan itu sehingga larut malam sambil merakam gambar kenangan. Sekembalinya dia ke negara asal, Karin secara tidak langsung akan menceritakan transformasi Kampung Baru yang memukau kepada sanak-saudaranya. Dan jika ada pelancong luar mahu pun tempatan bertanyakan kepada penulis, ke manakan destinasi yang paling ideal untuk dikunjungi, pasti penulis akan menyebut Kampung Baru, Kampung Kota Metropolitan!!.

Saturday, December 26, 2009

Coliseum : Semarakkan semangat 1Malaysia

Coliseum di awal pembinaan pada tahun 1920 menjadi tumpuan masyarakat berbilang kaum menonton wayang.

USIA PANGGUNG Coliseum yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dan berhampiran dengan kawasan Lanai Seni hampir menjangkau satu abad lamanya, namun masih utuh.

Coliseum yang merupakan terjemahan kepada seni bina Rom, Itali itu adalah saksi utama kepada kegemilangan era filem layar Melayu terutama produk yang datang dari Studio Jalan Ampas, Singapura pada era 1960-an.

Meskipun muncul beberapa panggung lain seperti panggung Federal, Capitol di Jalan Chow Kit, Rex di Jalan Sultan dan State di Petaling yang dianggap sebagai pesaing, Coliseum terus gah dan tetap menjadi pilihan orang ramai untuk menonton wayang gambar.

Ketika itu, semangat 1 Malaysia sudah terpancar tatkala masyarakat tidak kira Melayu, India dan Cina pasti berasak-asak memenuhi Coliseum bagi mendapatkan tiket dengan harga yang berpatutan.

Malah, ia menjadi pilihan beberapa pemimpin seperti mantan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu yang pernah ‘mencuri’ peluang menonton wayang di sini.

Kepada para pelancong asing yang melalui Jalan Tunku Abdul Rahman, pasti akan terpesona dengan keunikan panggung klasik ini yang masih lagi terpelihara meskipun ia di kelilingi banyak bangunan yang jauh lebih ‘muda’ dan pusat beli belah yang sinonim dengan kesibukan.

Pasti minda secara pantas akan mengimbau kemegahan Coliseum di Itali namun secara realitinya ia terdapat di sebuah negara Asia iaitu di Kuala Lumpur, Malaysia.

Mengimbas secara ringkas sejarah Coliseum yang siap dibina pada tahun 1920, ia dimiliki oleh seorang peguam Dr. Chua Seong Sie yang mewarisi peninggalan daripada ibu bapanya, Dr. Chua Boon Teck dan Madam Khor Joo Saik sejak tahun 1947.

Panggung wayang yang mempunyai kepadatan seramai 440 penonton pada satu-satu tayangan di dua aras memperlihatkan keagungan silam pada senibinanya cukup terserlah sekali gus menolak transformasi pembaikan yang terarah kepada formula kemodenan. Dalam erti kata lain, struktur bangunan lama ini masih mengekalkan ciri kolonialnya.

Bilik projektornya juga masih menyimpan projektor yang berusia lebih kurang 15 tahun, spoon yang berusia berpulu-puluh tahun lamanya dan pemutar filem yang sedia ada sejak bangunan ini dibina.

Coliseum juga didirikan bersama-sama kafe dan hotelnya dan usaha pemuliharaan sama ada dari segi struktur atau kebersihan sentiasa dilaksanakan.

Meskipun ia sebuah panggung lama, alatan seperti sistem bunyi terbaru dengan tujuh amplifier dan sistem platter yang dapat memudahkan urusan menggulung filem tersedia seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin berkembang.



Coliseum hari ini yang masih tersergam gah walaupun berusia hampir satu abad.

Zaman yang silih berganti, menyaksikan daripada tayangan filem Melayu kini Coliseum lebih cenderung menayangkan filem-filem Tamil dari India.

Apabila filem lakonan pelakon legenda seperti Rajnikanth dan Kamal Hassan mengisi jadual tayangan di Coliseum, masyarakat India mahupun peminat daripada pelbagai keturunan ada yang sanggup bermalam dan berdiri berjam-jam lamanya di sana semata-mata untuk mendapatkan tiket.

Kehebatan kepada kemeriahan di Coliseum, penulis berani jamin bahawa suasananya sangat berbeza berbanding berkunjung ke pawagam-pawagam baru di negara ini.

Penulis berkata demikian ekoran penulis bersama rakan baik berbangsa India, Gandhi dan Ng Yin Yin yang berbangsa Cina pernah menjejakkan kaki ke sana menonton filem seram, Chandramukhi lakonan hero pujaan - siapa lagi kalau bukan Rajnikanth. Penonton akan bersorak apabila hero muncul dan ia berterusan sehingga tayangan selama tiga jam itu tamat.

Yang terkini, filem aksi, Vettaikaran yang diterajui oleh Vijay dan Anushka yang sedang hangat ditayangkan masih tidak hilang dengan suasana seperti itu.

Sebenarnya, gamatnya sebuah panggung klasik bernama Coliseum telah memberi mesej jelas kepada pelancong asing bahawa Coliseum yang genap usianya 90 tahun pada tahun ini, masih hidup.


KONSEP 1 MALAYSIA. Panggung Coliseum pasti akan sesak dengan pengunjung yang datang pelbagai kaum apabila filem-filem baru mula ditayangkan.

Bagaimanapun, setelah kerajaan mengakui telah banyak kehilangan banyak kawasan dan bangunan lama kepada pihak korporat seperti Central Market, Segitiga Emas Sentul dan Hotel Majestic, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang kini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada Ogos 2006 mengumumkan bahawa Coliseum akan dijadikan Pusat Warisan Negara yang bakal mempamerkan seni, budaya dan warisan rakyat Malaysia.

Sejurus selepas itu, filem Seniman Bujang Lapok telah diberi penghargaan menjadi pembuka tirai bagi tayangan filem Melayu di panggung yang sudah mampu memuatkan kapasiti seramai 848 orang berbanding 440 orang beberapa tahun lalu.

Sebanyak 15 buah filem Melayu klasik terpilih arahan dan lakonan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee yang diminati sepanjang zaman oleh pelbagai bangsa ditayangkan secara percuma pada setiap Sabtu terakhir setiap bulan pada tahun tersebut.
Kemudian, tayangan filem Keluarga 99 lakonan Saleh Yaacob dan Fauziah Ahmad Daud menyusul selepas itu.


Rais Yatim bersama Seniman Aziz Sattar memegang papan klip filem bagi melancarkan program merakyatkan filem melayu klasik di Coliseum pada dua tahun lalu.

Sesungguhnya, walaupun Coliseum sudah beralih tangan, panggung itu masih mengekalkan fungsi sedia adanya dan berterusan menjadi sebuah pawagam yang akan menayangkan filem-filem tempatan serta sebuah pusat kegiatan perfileman.

Bangunan itu juga bertambah mengagumkan apabila akan dijadikan sebuah dewan serba guna yang akan turut menjadi pentas pelbagai kegiatan kesenian.

Ada juga cadangan daripada beberapa pihak supaya Coliseum dijadikan sebuah panggung bertaraf nasional yang berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan kepada filem tempatan.

Maka, karya-karya lama yang dihasilkan oleh legenda negara seperti Jamil Sulong dan Omar Rojik boleh dipertontonkan kepada generasi muda dan serentak dengan itu, Coliseum juga boleh mengambil ruang mempertontonkan filem antarabangsa seperti dari Hollywood, misalnya.

Penulis juga pernah mengilhamkan bahawa apabila sudah tiba masanya, Coliseum akan menjadi sebuah lokasi yang mana segala aktiviti pencinta seni seperti majlis anugerah, majlis pelancaran filem, majlis diskusi atau majlis kebudayaan berpusat di sini.

Dengan kerancakan di Coliseum itu, pastinya akan mempengaruhi pelancong tempatan atau luar negara terhenti seketika untuk ‘menjengah’ bangunan ini dan kemudian mengkhabarkan kepada sanak saudara tentang nilai estetika yang masih terpahat di samping kekreatifan yang ditonjolkan oleh kerajaannya yang memanfaatkan sepenuhnya warisan negaranya.

Pastinya, selepas ini kalau orang luar melontarkan persoalan di manakah lokasi sesuai untuk menonton filem dan menyelami budaya Malaysia, kita dengan bangganya mengarahkan mereka ke Coliseum.

Apa-apa sekalipun, Coliseum yang terletak di tengah-tengah kepesatan kota metropolitan di Kuala Lumpur masih menjadi tonggak kepada warisan tinggalan sejarah sememangnya perlu untuk diperkasakan.

Pemeliharaan dan pemuliharaan kepada panggung klasik ini merupakan pendekatan yang efisien dalam mempromosikan Malaysia sebagai pusat pelancongan kepada pelancong luar khususnya generasi baru.

Gabungan Coliseum dan beberapa warisan kebangsaan seperti Bangunan Sultan Suleiman , Jalan Stesen di Klang, Stadium Merdeka serta Stadium Negara, sesungguhnya mampu mencapai objektif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab seni warisan dan budaya antarabangsa.

Kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi seperti New York, Washington mahupun Canberra yang hanya memainkan fungsi sebagai ibu kota pentadbiran atau pun sebagai pusat komersial atau perdagangan semata-mata.

Diharapkan, Coliseum yang masih teguh dengan nilai seni dan warisan yang tinggi terus hidup, tidak ditelan dek pembangunan dan menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia.


TUMPUAN PELANCONG. Masih kental mempertahankan dan memulihara seni binanya sekaligus menjadi tarikan ramai.

INFO

Lokasi
Jalan Tuanku Abdul Rahman – berhampiran dengan Lanai Seni dan berhadapan dengan Kamdar.

Tarikh Siap Di Bina
1920

Cara Ke Sana
Boleh menggunakan LRT dengan berhenti di Hentian Bandaraya